SUMMUGAM keluar dari mahkamah.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Pengarah syarikat perladangan di Cameron Highlands, Pahang, lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, semalam, tanpa perlu membela diri atas enam pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram lebih RM3 juta, dua tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian ke atas tertuduh, SR Summugam, 63, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Summugam yang juga Pengarah Blue Valley Plantation Sdn Bhd menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Mengikut pertuduhan awal, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menunaikan cek berjumlah RM200,000 dengan tidak memasukkannya ke dalam akaun syarikat tanpa pengetahuan dan kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat.

Bagi dua pertuduhan berikutnya, dia didakwa memasukkan cek RM2.8 juta ke dalam akaun sendiri dan mengeluarkan satu cek Alliance Islamic Berhad berjumlah RM249,235.82 milik firma guaman Seah, Balan, Ravi & Co.

Summugam turut berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa terbabit dalam amalan pengubahan wang haram iaitu mengeluarkan wang RM200,000 secara tunai milik Tan Choon Kiat dan Lee Seng Teck iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mendepositkan cek RHB Bank Berhad berjumlah RM2.8 juta milik dua individu sama ke dalam akaunnya dan turut mengeluarkan wang RM249,235.82 secara tunai melalui cek Alliance Islamic Bank Berhad milik firma guaman Seah, Balan, Ravi & Co.

Semua perbuatan itu dilakukan di sekitar bandar raya ini dan Klang, antara 30 Mei 2008 hingga 28 April 2011.

Asmadi dalam penghakimannya berkata, kegagalan pendakwaan memanggil dua saksi material menyebabkan wujud kelompangan dan keraguan dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:21 AM