PENGUNJUNG yang hadir melihat demonstrasi penapis air pada Pameran Hartanah MyRumah 2017 di Balai Berita, Bangsar.
Hafiz Ithnin
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), penganjur pameran hartanah, MyRumah Property Showcase mencatatkan 11 unit jualan pelbagai segmen kediaman bernilai RM6 juta dalam tempoh tiga hari ia berlangsung pada Jumaat hingga semalam.

Malah, siri pertama MyRumah itu yang diadakan di Balai Berita NSTP, Bangsar mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai dengan mencatatkan 5,000 pengunjung yang berpotensi menjadi pembeli dan mendengar pelbagai perkongsian isu hartanah tempatan.

Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abdul Abas berkata, pameran siri pertama tahun ini disertai 12 pempamer merangkumi tujuh syarikat pemaju tempatan berlangsung meriah meskipun cuaca hujan sepanjang tiga hari penganjurannya.

Beliau berkata, selain kediaman bernilai RM400,000 hingga RM800,000, pameran hartanah itu juga menawarkan produk lain daripada pempamer termasuk syarikat penapis air Cuckoo dan pengendali perkongsian kenderaan, Grab.

“Meskipun keadaan cuaca kurang mengizinkan dalam tempoh tiga hari ini tetapi MyRumah masih berjaya menarik perhatian pengunjung untuk melihat produk hartanah yang ditawarkan pemaju serta mendengar perkongsian ilmu hartanah daripada pelbagai pakar di dalam industri ini.

“Seterusnya, kita merancang untuk menganjurkan siri kedua MyRumah di Komtar JBCC pada awal Mei ini untuk menarik kunjungan warga selatan yang bukan saja menjadi pembeli berpotensi malah menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti perkongsian maklumat dan tip pembelian hartanah tempatan serta acara untuk kanak-kanak,” katanya, di sini, semalam.

Penganjuran empat siri MyRumah tahun ini dijangka meraih jualan keseluruhan RM30 juta membabitkan anggaran 50 unit kediaman meskipun industri hartanah tempatan berdepan dengan cabaran pasaran.

Tahun lalu, NSTP menganjurkan tiga edisi MyRumah dengan meraih jualan keseluruhan kira-kira RM20 juta membabitkan 40 unit kediaman dan mencatatkan kehadiran 15,000 pengunjung.

Mohd Haslan berkata, siri ketiga MyRumah akan diadakan di Aman Central Sungai Petani, Kedah pada Ogos ini diikuti siri keempat yang juga terakhir di Balai Berita NSTP, Bangsar pada Oktober 2017.

“Kami jangkakan pameran di JBCC dan Aman Central menjadi penyumbang utama kepada jualan keseluruhan tahun ini,” katanya.

end

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:00 AM