ANGGOTA HAZMAT membersihkan sisa tumpahan asid nitrik di Jalan Air Puteh, Simpang.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Taiping: Sebuah lori yang membawa bahan kimia berbahaya jenis asid nitrik mengalami kebocoran di Jalan Air Puteh, Simpang, di sini, pagi kelmarin.

Pasukan bomba mengambil masa lebih 13 jam untuk menangani kebocoran asid terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting menerima maklumat mengenai kebocoran bahan kimia itu pada jam 10.43 pagi dan sebaik tiba di lokasi, sebuah lori membawa dua tong muatan asid nitrik (UN 2031) mengalami kebocoran.

Beliau berkata, setiap satu tong membawa muatan 1,300 kilogram asid nitrik dan kebocoran hanya membabitkan satu daripada tong berkenaan yang dalam perjalanan untuk dihantar ke Shah Alam, Selangor.

“Terdapat satu daripada tong muatan bahan kimia itu mengalami kebocoran, anggota bomba dari BBP Kamunting dibantu BBP Taiping dan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh kemudian menjalankan operasi pembersihan bahan yang tumpah atas jalan di lokasi kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:19 AM