Abdul Kadir (kiri) bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan PERHILITAN, Salman Saaban melihat haiwan terancam yang diselamatkan pada sidang media di Ibu Pejabat PERHILITAN, Jalan Cheras.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mampu hidup mewah dengan meraih pendapatan hampir RM20,000 sebulan hasil kegiatan menyeludup burung murai batu, ayam hutan dan burung tiong mas ke Indonesia.

Itu pendapatan lumayan diperoleh lelaki tempatan berusia 42 tahun yang dikesan aktif menangkap hidupan liar dilindungi sejak empat tahun lalu.

Difahamkan, hidupan liar berkenaan mendapat permintaan tinggi dari negara jiran menyebabkan lelaki berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu memilih kerjaya berkenaan sebagai punca rezeki.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki itu dibongkar selepas dia ditahan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam satu serbuan di kediamannya Selasa lalu.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya merampas 156 burung murai batu, tiga burung tiong mas dan enam ayam hutan di kediaman suspek.

Beliau berkata, semua hidupan liar itu disyaki mahu diseludup ke negara jiran melalui laluan laut dengan bantuan sindiket penyeludupan di Indonesia.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki ini sindiket utama di Pahang yang aktif menyeludup hidupan liar.

“Dia menghantar hidupan liar itu ke Johor sebelum sindiket Indonesia datang untuk mengambil semua haiwan yang dilindungi ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Kadir berkata, suspek kerap berhubung dengan sindiket di Indonesia untuk menyeludup keluar hidupan liar yang dilindungi ini.

“Nilai keseluruhan hidupan liar yang dirampas daripada lelaki terbabit bernilai RM70,000.

“Kami mendapati haiwan liar itu ditangkap pemburu haram di Pahang sebelum dikumpulkan lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Abdul Kadir berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 37 tahun dan merampas 35 kura-kura kolam hitam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

“Kura-kura berkenaan disembunyikan di dalam dua bagasi. Lelaki itu cuba menyeludup haiwan itu dengan mengambil penerbangan dari Dhaka, Bangladesh ke negara ini.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat apa tujuan haiwan itu diseludup masuk ke negara ini memandangkan kura-kura itu kurang diminati di negara ini,” katanya.

Menurutnya, ada kemungkinan negara ini dijadikan transit sebelum kura-kura itu dihantar ke Vietnam dan China.

Abdul Kadir berkata, semua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:20 AM