MANSOR (kiri) melihat rangka motosikal yang dirampas.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman
am@hmetro.com.my


Bera: Perhati, ‘rembat’ dan lerai kurang dari 30 minit. Itu taktik dan kemahiran dimiliki dua geng curi motosikal yang dikesan aktif melakukan jenayah berkenaan di sekitar daerah ini sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, dua kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Pajeri’ dan ‘Pak Jen’ terdiri daripada lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 19 tahun itu tumpas hasil risikan serta intipan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera menerusi Pasukan Lejang yang ditubuhkan sejak Januari lalu.

Berikutan tangkapan itu, polis merampas lapan motosikal, lima rangka, tiga enjin dan beberapa komponen kenderaan terbabit dengan nilai dianggarkan RM15,000.

Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, hasil tangkapan dilakukan, pihaknya berjaya menyelesaikan 16 kes membabitkan kes kecurian motosikal di daerah ini.

Katanya, ahli dua kumpulan terbabit yang ditahan dikesan mula bergerak aktif dalam kegiatan curi motosikal sejak 2016.

“Kedua-dua ahli kumpulan ini melakukan kegiatan mereka dengan memerhatikan sasaran motosikal daripada jauh sebelum mencuri kenderaan itu apabila mangsa tidak menyedarinya.

“Mereka turut melakukannya di kediaman mangsa terutama yang meninggalkan kenderaan tanpa pengawasan.

“Motosikal yang dicuri kemudian dileraikan komponen dalam masa kurang 30 minit sebelum dijual kepada orang awam terutama golongan remaja,” katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, beberapa suspek daripada dua kumpulan terbabit turut didapati positif dadah.

“Bagaimanapun, kita percaya ada saki-baki ahli kumpulan terbabit yang masih berada di daerah ini.

“Tangkapan susulan akan dilakukan pada bila-bila masa saja dan mereka yang disyaki perlu tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:53 AM