Muhamad Muslim dan Nur Nadiyah muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor Ke- 61 di Stadium Mersing.

Mersing: Pengetua Akademik al-Quran Pasir Gudang, Muhamad Muslim Ali, 30, dan pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Nur Nadiyah Hashim 21, dinobatkan johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor Ke-61 di Stadium Mersing di sini, malam kelmarin.

Muhamad Muslim mewakili daerah Johor Bahru mengalahkan sembilan peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung tiga malam berturut-turut itu.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Abd Mutalip Abd Rahim.

Muhamad Muslim berkata, dia berazam menaikkan nama Johor dalam Tilawah Peringkat Kebangsaan apabila mewakili negeri itu tidak lama lagi.

Beliau yang pernah muncul johan qari peringkat negeri pada 2015 dan menjadi naib johan tahun lalu berterima kasih kepada gurunya, Ustaz Bachok Tupat.

“Saya akan menjalani latihan intensif sebelum mewakili Johor di peringkat kebangsaan yang diadakan tidak lama lagi,” katanya yang membawa pulang RM15,000, piala pusingan dan iringan.

Bagi Nur Nadiyah yang mewakili daerah Kluang, dia bangga kerana dapat mewakili Johor ke peringkat kebangsaan selepas gagal tahun lalu apabila muncul sebagai naib johan.

“Saya tidak sangka untuk muncul johan tahun ini, bagaimanapun bersyukur dan sedia menjalani latihan untuk memberikan bacaan terbaik pada peringkat kebangsaan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:37 AM