KAMALUDDIN Kassim.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: “Saya kena tikam, ada orang masuk rumah,” kata Nurul Aimi Abd Rahman, 26, ketika menghubungi suaminya selepas dia cedera di perut akibat ditikam penceroboh tidak dikenali yang disyaki cuba melakukan samun terhadapnya.

Malah, dalam keadaan menahan kesakitan akibat tusukan pisau pemotong sayur sedalam dua sentimeter di perut, wanita yang bekerja sebagai jururawat sambilan itu masih mampu menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

Dalam kejadian di Jalan Makmur, Kampung Panchor, Alor Gajah, di sini, jam 2.30 petang kelmarin, penceroboh yang panik melarikan diri dan meninggalkan Nurul Aimi yang cedera.

Suami mangsa, Mohd Hanif Johari, 27, berkata, penceroboh dipercayai bertindak agresif selepas isterinya itu menjerit akibat ketakutan.

Katanya, ketika kejadian, Nurul Aimi berada seorang diri di rumah, manakala dia keluar untuk ke simpang Ampat, Alor Gajah kerana mempunyai urusan peribadi.

“Dengan nada cemas, isteri beritahu dia ditikam. Sejurus menerima panggilan itu saya bergegas pulang. Memang tidak senang duduk sepanjang perjalanan kerana memikirkan keselamatan isteri.

“Syukur selepas pemeriksaan, doktor beritahu kecederaan isteri saya tidak serius. Saya langsung tidak jangka insiden seperti ini boleh menimpa isteri.

“Doktor belum benarkan dia keluar, mungkin perlu tinggal di wad untuk pemantauan selama dua hari lagi,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, ketika kejadian, mangsa bersendirian di rumah itu kerana baru pulang dari rumah bapanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak menyedari kehadiran suspek kemudian keluar dari rumah untuk menyidai pakaian di bahagian dapur.

“Mangsa kemudian masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil penyangkut baju sebelum terserempak dengan suspek yang memegang pisau dan tertikam bahagian kanan perutnya.

“Kami percaya suspek sebenarnya sudah berada di dalam rumah sebelum mangsa pulang dan motif awal kejadian dipercayai cubaan samun,” katanya.

Kamaluddin berkata, pisau pemotong sayur digunakan suspek sudah diambil, selain usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 9:21 AM