SITI Syafawani Mohd Sabri menolak kerusi roda ibunya untuk mendapatkan bantuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2017.

Kuala Lumpur: Kehidupan dilalui seorang suri rumah begitu sukar sejak 11 tahun lalu apabila menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Siti Rohani Mansor, 48, kehilangan kaki kiri dan tangan kanan akibat kencing manis dihidapi sejak 30 tahun selain perlu mendapatkan rawatan dialisis akibat sakit buah pinggang tiga kali seminggu.

Katanya, dua anaknya berusia 14 dan 20 tahun serta suaminya Mohd Sabri Sitih, 51, silih berganti menjaganya kerana dia tidak berupaya menguruskan keperluan diri termasuk rumah tangga.

“Jika suami bekerja, anak mandikan saya termasuk menguruskan makan minum.

“Kasihan juga anak kerana perlu menguruskan saya sebelum ke sekolah, tetapi mereka tak pernah mengeluh walau letih kerana mereka faham dengan kesihatan saya yang terbatas,” katanya ditemui pada majlis Sumbangan amal daripada Persatuan kebajikan Sinar Matahari Malaysia, di sini, semalam.

Seramai 200 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, di sini yang terdiri daripada keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan.

Siti Rohani berkata, berikutan bimbangkan kesihatannya, dia dihantar ke rumah adiknya setiap hari oleh anaknya untuk pemantauan.

“Selepas jalani hemodialisis, saya selalu pitam. Sebab itu suami dan anak bimbang dan meminta adik saya menjaga saya sehingga seorang ahli keluarga pulang ke rumah,” katanya.

Katanya berikutan kesihatannya yang semakin merudum, perbelanjaan rawatan bertambah apabila setiap bulan perlu mengeluarkan RM3,000 bagi tujuan itu.

“Saya dan suami resah memikirkan perbelanjaan rawatan saya kerana ia di luar kemampuan kami.

“Dengan pendapatan suami RM1,500 sebulan tidak memadai kerana banyak lagi keperluan lain yang perlu ditanggung termasuk persekolahan anak,” katanya.

Terdahulu sumbangan bantuan itu disampaikan Presiden Persatuan Kebajikan Sinar Matahari Malaysia Datuk Seri C Kamaleshwaran.

Kamaleshwaran berkata, sumbangan itu sebahagian khidmat sosial persatuan untuk golongan kurang berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:24 AM