Anggota penguat kuasa MPKB-BRI menyita set sistem PA yang digunakan.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kegembiraansekumpulan wanita menari tarian poco-poco pada majlis makan malam di hotel di sini, terbantut apabila diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, serbuan itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas pihak berkuasa memperoleh maklumat penganjur tidak memohon permit.

Difahamkan ketika serbuan dijalankan, tetamu yang hadir dihiburkan dengan muzik serta 10 wanita menari tarian poco-poco.

Ketua Operasi Mohd Halimie Md Salled berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, majlis makan malam itu dianjurkan secara persendirian dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Ketika diserbu, 10 wanita asyik menari dan tidak menyedari majlis terbabit diserbu sehingga muzik dihentikan.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, penganjur majlis yang juga wanita berusia 34 tahun didapati tidak memohon kelulusan MPKB-BRI,” katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, MPKB-BRI mengeluarkan kompaun kepada penganjur mengikut Enakmen Hiburan kerana mengadakan hiburan tanpa permit, selain bercampur lelaki dan perempuan.

“Kami menyita set sistem PA yang digunakan ketika persembahan dengan nilai rampasan RM5,000.

“Pemantauan dari semasa ke semasa akan dijalankan untuk memastikan kesalahan sama berulang ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:53 AM