Mahdzir beramah mesra dengan guru yang hadir dalam dialog.
Meor Riduwan Meor Ahmad
Mriduwan@hmetro.com.my

Sungai Petani: Mana-mana pelajar didapati terbabit kegiatan buli berdepan tindakan tegas digantung sekolah selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta.

Sepanjang tempoh digantung persekolahan itu, pelajar terbabit akan turut dibawa menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney supaya dapat pulih dan kembali meneruskan persekolahan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan penggantungan itu dibuat serta-merta selepas penelitian dan siasatan dilakukan Jawatankuasa Disiplin dibentuk pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pengurusan sekolah untuk menyiasat setiap aduan buli yang diterima.

Menurutnya, beliau baru saja menandatangani dokumen berkaitan bagi memberi kuasa kepada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah untuk mengambil tindakan, baru-baru ini.

“Yang saya sebut dulu yang kita akan gantung pelajar (pembuli) kita akan laksanakan.

“Kita akan gantung pelajar yang buli terutama ketua buli, walaupun ada masyarakat kata apa mereka nak buat dalam tempoh itu.

Kita gantung pelajar itu dan pada masa sama kita bawa mereka untuk buat pemulihan. Tempoh penggantungan ini enam bulan dan berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di Universiti AIMST, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes buli yang menjadi-jadi ketika ini termasuk kelmarin seorang pelajar perempuan tingkatan satu cedera di kepala dan bahu dipercayai dipukul dua pelajar perempuan tingkatan tiga di sekolah di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Mahdzir berkata, keadilan akan dipastikan kepada pelajar yang terbabit dan hukuman hanya dilaksanakan selepas penelitian dibuat terhadap setiap aspek termasuk laporan diterima.

“Jika ada empat pelajar terbabit buli misalnya, pelajar yang jadi ketua buli akan dikenakan penggantungan lebih lama berbanding tiga pelajar lain,” katanya.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, laporan jawatankuasa itu tidak termasuk kes berkaitan jenayah yang diserahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.

“Selain itu keputusan sama ada pelajar digantung itu boleh mengambil peperiksaan atau tidak bergantung kepada budi bicara kementerian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:16 AM