NADZRI ketika meletakkan pelekat Berkhidmat Berintegriti pada Majlis Pelancaran Pelan Integriti JPJ 2016-2020, semalam.
myMetro

Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bulan depan bagi mencegah gejala rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron berkata, kerjasama itu adalah satu langkah proaktif supaya isu berkaitan integriti tidak menular secara serius bagi mengelakkan nama baik jabatan tercemar seperti beberapa agensi lain.

“Pada tahun lalu, sebanyak 64 kes salah laku anggota JPJ direkodkan iaitu 32 kes tidak hadir bertugas, sembilan kes siasatan, tiga aduan SPRM dan kes mahkamah yang membabitkan tujuh kes SPRM, tujuh kes Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua kes dadah dan empat kes syariah.

“Jumlah ini hanya membabitkan sebahagian kecil daripada lebih 7,000 anggota, namun kita tidak mahu ia berjangkit dan menjejaskan reputasi agensi penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Integriti JPJ 2016-2020 di sini, semalam.

Nadzri berkata, pelan berkenaan adalah satu usaha awal yang dilakukan pihaknya yang akan dijadikan sebagai pemacu pembudayaan integriti dan tadbir urus terbaik.

“Pelancaran pelan ini adalah kesinambungan dan gelombang kedua selepas pelan pertama yang dilaksanakan pada 2009 yang banyak menyediakan platform dalam peningkatan integriti.

“Sementara pelan kedua ini dijadikan penanda aras untuk memastikan anggota JPJ lebih berintegriti terutama dalam sistem penyampaian jabatan,” katanya.

Nadzri berkata, Pelan Integriti itu turut menggariskan lima teras strategi bersama 26 program bagi mencapai agenda transformasi kemanusiaan JPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:56 AM