NORHAYATI melawat tiga kanak-kanak terbabit di Balai Raya Kampung Tengkek.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


Kuala Pilah: Ketika rakan lain sibuk menyiapkan kerja sekolah, tiga beradik ini terpaksa bekerja di kampung bagi mencari pendapatan meringankan beban keluarga.

Begitulah dialami tiga beradik yang terabai daripada segi pendidikan akibat kesempitan hidup sebelum mereka diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Pilah, kelmarin.

Ketiga-tiga beradik yang menetap bersama nenek mereka di Kampung Tengkek, Batu Kikir, di sini, berusia enam hingga sembilan tahun dan paling menyedihkan apabila dua daripadanya tidak memiliki sijil kelahiran.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit terabai dan kurang mendapat perhatian berikutan keluarganya mengalami masalah peribadi selepas bapa mereka meninggal dunia 4 tahun lalu.

Seorang penduduk enggan dikenali berkata, sebaik bapa mereka meninggal, kanak-kanak itu dijaga neneknya berikutan ibunya berusia 40-an mengalami masalah peribadi hingga sukar memberi perhatian kepada anaknya.

“Walaupun usia neneknya sudah menjangkau 70-an, dia tetap gagahkan diri menoreh getah kerana itulah sumber pendapatan untuk menampung keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM daerah, Mohamad Affendy Mat Sani berkata, tiga beradik itu tinggal bersama neneknya di kampung itu, tidak bersekolah dan mereka membantu neneknya melakukan kerja kampung.

Beliau berkata, dua daripadanya berusia enam dan lapan tahun tidak mempunyai sijil kelahiran manakala yang seorang lagi berusia sembilan tahun memiliki dokumen namun tidak dihantar ke sekolah kerana kesempitan keluarga.

“JKM sudah mendapat perintah mahkamah supaya ketiga-tiga beradik ini dihantar Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah (RKKTB), Cheras, Kuala Lumpur hari ini (semalam).

“Pada masa sama, mereka turut menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. Mereka ditempatkan buat sementara waktu di RKKTB dan selepas itu, barulah JKM memikirkan keperluan seterusnya demi masa depan mereka,” katanya.

Katanya, keputusan membawa kanak-kanak itu ke RKKTB atas persetujuan bersama termasuk pemimpin setempat dan ahli keluarga kanak-kanak itu.

Dalam pada itu, nasib tiga beradik malang mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Norhayati Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh Datuk Mohammad Razi Kali serta Baitulmal yang turun padang menziarahi mereka di Balai Raya Kampung Tengkek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 9:28 AM