Mustafa (tengah) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Tuan Asri sambil diperhatikan Abd Halim (kanan) pada Majlis Hari Antidadah Kebangsaan 2017.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kajang: Modul Inabah iaitu menggunakan pendekatan agama dalam rawatan dan pemulihan diperluaskan ke dua Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) mulai bulan depan.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, ketika ini CCRC Sungai Ruan, Raub, Pahang melaksanakan Modul Inabah yang disertai 156 peserta.

Menurutnya, Modul Inabah menggunakan pendekatan psiko sosial dan psiko spiritual dengan elemen terapi kognitif tingkah laku serta pendidikan psiko dalam membantu pelanggan menjalani proses pemulihan.

“Bermula bulan depan, AADK melalui Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan akan memperkenalkan Modul Inabah kepada klien di CCRC Perlop, Sungai Siput, Perak dan CCRC Tiang Dua, Melaka.

“Pelaksanaan projek rintis pemulihan melalui pendekatan Inabah di CCRC Sungai Ruan yang bermula pada Mac 2015 menunjukkan program rawatan menggunakan pendekatan kerohanian mampu memulihkan masalah ketagihan dadah dan mengekalkan tahap kepulihan klien dengan melihat kepada perubahan sifat serta sikap klien.

“Pada tahun ini, AADK menyasarkan 400 klien bakal menamatkan program melalui Modul Inabah iaitu masing-masing 200 di CCRC Perlop dan CCRC Tiang Dua,” katanya di Majlis Perhimpunan Hari Antidadah Kebangsaan 2017, Peringkat AADK dan Hari Terbuka di Ibu Pejabat AADK di sini, semalam.

Majlis perhimpunan itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mustafa Ibrahim.

Pada majlis itu, Harian Metro dipilih menjadi penerima tunggal sijil penghargaan bagi kategori media kerana sumbangan besar dalam membantu membuat liputan kejayaan AADK dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pembaca mengenai peranan AADK serta bahayanya dadah.

Harian Metro diwakili Penulis Kanan Khas, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein.

Dalam perkembangan berasingan, AADK menyasarkan melahirkan 40 huffaz daripada empat CCRC yang terpilih untuk melahirkan klien AADK yang bukan saja boleh membaca malah menghafal al-Quran.

Selain itu, 30,465 penagih dadah dikesan pada tahun lalu membabitkan 22,643 kes baru dan 7,822 penagih berulang.

Individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah ini terdiri daripada 29,303 lelaki dan 1,162 wanita dengan 73.6 peratus (22,418) adalah golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:15 AM