AZMI (tengah) melihat replika rumah berkembar di Laman PKNS.

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam melancarkan projek terbaru rumah berkembar dua tingkat ‘Lavender’ di Antara Gapi, Serendah, yang menawarkan 96 unit eksklusif kepada pembeli.

Kediaman itu merangkumi empat keluasan iaitu 2,867 kaki persegi (kps), 2,861kps, 3,076kps dan 3,198kps pada harga bermula RM923,500 hingga RM1.1 juta seunit.

Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS Azmi Adnan berkata, pihaknya turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada pembeli menerusi program ‘Smart Ownership PKNS’.

“Skim itu dibuka kepada semua termasuk bukan Bumiputera yang mengidamkan kediaman selesa dan berpeluang menikmati skim ‘Zero Entry’ seperti sifar bayaran pendahuluan dan pembiayaan perjanjian jual beli.

“Kini, projek Lavender itu sudah 90 peratus dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun ini,” katanya.

Menurutnya, PKNS mensasarkan sebanyak 30 unit akan berjaya dijual dalam tempoh enam bulan.

“Lavender sesuai untuk mereka yang ingin membeli hartanah di Lembah Klang sama ada untuk diduduki atau pelaburan.

“Kita menyasarkan ia berjaya dijual dalam tempoh enam bulan kerana kedudukannya yang strategik iaitu terletak 15 kilometer dari Bandar Rawang selain mempunyai akses melalui beberapa lebuhraya termasuk Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Guthrie,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:03 AM