KEADAAN kereta yang dihempap pokok dalam kejadian petang, semalam
myMetro

Kuantan: “Saya hanya mampu mengucap panjang apabila melihat sebatang pokok sebesar pemeluk orang dewasa menghempap kereta dinaiki kami tiga sekeluarga.

“Umur kami masih panjang kerana terselamat dalam kejadian ini dan tidak mengalami kecederaan,” kata seorang penyelia, Mohamad Amirul Mohd Sabri, 23, yang terselamat selepas kereta Proton Perdana miliknya remuk dihempap pokok kelat jambu laut di kawasan peranginan Teluk Chempedak, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.15 petang itu, turut merosakkan dua kenderaan lain iaitu Proton Wira dan Proton Preve diletakkan di kawasan tempat letak kereta milik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Difahamkan, kejadian berkenaan turut mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung apabila mereka sibuk mengalihkan kenderaan masing-masing kerana bimbang menerima nasib yang sama.

Sebelum kejadian, dia bersama adiknya, Nor Amy Suhada Mohd Sabri, 18, dan kakak iparnya, Nurul Idayu Nasarudin, 27, mengunjungi restoran makanan segera berhampiran tempat kejadian dan membuat pesanan menerusi kaunter pandu lalu.

Katanya, sebaik saja menerima makanan dipesan itu, dia kemudian memandu secara perlahan-lahan keluar dari restoran makanan segera itu sebelum tersentak mendengar dentuman kuat diikuti bumbung keretanya remuk dan hampir hancur.

“Kami terus bergegas keluar dari kereta menyelamatkan diri sebelum tergamam seketika apabila melihat sebatang pokok sebesar pemeluk orang dewasa tumbang menghempap kereta.

“Mujur pokok hempap bahagian tepi kereta jika di tengah (kereta), sudah tentu nyawa kami melayang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:49 AM