Raja Salman
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penjaga dua kota suci yang juga Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik (Islam dan Wasatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena Majlis Konvokesyen pada 28 Februari ini.

Penganugerahan ijazah kehormat itu disempurnakan Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah di Pusat Aktiviti Kebudayaan, UIAM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan menyifatkan Raja Salman sebagai pemimpin berevolusi dan inovatif dengan mengekalkan reputasi Arab Saudi sebagai negara disegani.

Malah, katanya, lawatan rasmi Raja Salman ke Malaysia memberikan impak besar kepada negara dan membuka pelbagai peluang.

Raja Salman membawa perubahan paradigma dengan mengubah prosedur penurunan takhta kepada pengganti muda dengan memilih Putera Mohammed Nayef sebagai putera mahkota.

Raja Salman ialah Gabenor Riyadh selama lebih lima dekad dan dilantik sebagai Menteri Pertahanan Arab Saudi pada November 2011.

Baginda dilahirkan pada 31 Januari 1935 di Riyadh, Arab Saudi adalah seorang daripada ‘Sudairi Seven’ iaitu anak Raja Abdul Aziz dari ibu sama dan baginda paling berpengaruh dan turut dikenali sebagai penjaga keluarga.

Raja Salman ialah putera ketiga dinamakan sebagai pewaris oleh Raja Abdullah. Beliau bergelar hafiz pada usia 10 tahun dan menerima pendidikan di Prince School of Riyadh yakni institusi terkemuka yang dibuka Raja Abdul Aziz pada 1356 untuk pendidikan keluarga diraja dan kerabat.

Raja Salman melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan sains moden. Sejak 1956, baginda terbabit dalam pelbagai kerja kemanusiaan dan kebajikan untuk membantu individu terbabit bencana.

Sifatnya yang dermawan, membolehkan baginda dikurniakan pelbagai pingat dan pengiktirafan dari negara luar seperti Palestin, Maghribi, Yaman dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, baginda dikurniakan pelbagai ijazah kehormat termasuk dari Universiti Islam Madinah, Universiti Islam Delhi, India, Anugerah Bahrain untuk Kerja Kemanusiaan Majlis Kerjasama Teluk dan Anugerah Akademik dan Pingat Kant dari Akademi Sains dan Kemanusiaan Berlin-Brandenburg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:24 AM