ADZLI (tengah) menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada Geng Fendy berikutan tertangkapnya empat ahli kumpulan.

Port Dickson: Kelicikan sindiket pecah kereta dikenali sebagai Geng Fendy yang dipercayai aktif melakukan jenayah itu di sekitar daerah ini berakhir apabila empat ahli mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Politeknik, di sini, awal bulan ini.

Keempat-empat suspek berusia antara 24 dan 26 tahun ditahan antara jam 9 pagi dan 2 petang, sekali gus membolehkan polis menemui semula barangan dipercayai dicuri dalam rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, penahanan suspek membolehkan polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 19 kes pecah kereta yang berlaku sejak awal bulan lalu.

Beliau berkata, tiga daripada suspek ditahan pada 3 Februari lalu, manakala seorang lagi ditahan lima hari kemudian.

“Semua suspek berasal dari Rawang, Selangor dan mereka dipercayai datang ke daerah ini sejak lebih sebulan lalu untuk melakukan jenayah itu.

“Malah, siasatan mendapati suspek menyasarkan lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar malam, dewan orang ramai dan mereka memulakan aktiviti ini dari jam 8 hingga 10 malam.

“Sebaik mendapat barang disasarkan, suspek akan menjual kepada pelanggan tertentu. Malah, ujian air kencing mendapati, semua suspek positif syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, semalam.

Adzli berkata, antara barangan dirampas ialah komputer riba, telefon bimbit, alat mengecas telefon bimbit, beg dan peralatan mencuri kenderaan.

“Turut dirampas empat buah kereta iaitu Proton Putra, Proton Satria (kereta curi), Proton Wira (kereta suspek) dan sebuah lagi Perodua Kelisa yang masih tidak diketahui statusnya kerana tidak ada laporan polis dibuat.

“Susulan itu, polis memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Muhammad Firdaus Hamid@Baby Mok, 19, kerana dipercayai membeli sebuah kereta curi daripada suspek iaitu Perodua Kelisa pada harga RM300.

“Polis percaya lelaki ini dapat membantu siasatan dan berharap orang ramai mengetahui di mana dia berada, diminta menghubungi balai polis berhampiran.

“Pada masa sama, polis meminta mangsa tampil ke IPD Port Dickson untuk mengecam barangan memandangkan hanya sebahagian yang sudah berbuat demikian,” katanya.

Katanya, semua suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Akmal di talian 017-4220322 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 3:47 AM