SUSPEK (tengah) diiringi dua pegawai SPRM untuk mendapat perintah tahanan reman.

Kangar: Seorang pengarah sebuah Kolej Vokasional di negeri ini dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin, bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata, wanita berusia 55 tahun itu dipercayai terbabit dalam penyelewengan sebut harga perkhidmatan latihan bernilai hampir RM500,000.

“Suspek dipercayai menggunakan kedudukannya untuk memaksa seorang guru menandatangani penerimaan sebut harga barangan terbabit sedangkan barangan itu adalah terpakai.

“Selain wanita berkenaan, dua lelaki iaitu masing-masing seorang pengurus syarikat berusia 55 tahun dan eksekutif pemasaran berusia 29 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini SPRM sudah membekukan akaun syarikat pembekal perkhidmatan latihan itu berjumlah lebih RM300,000, selain alatan bernilai lebih RM100,000 disita untuk tujuan siasatan.

“SPRM sudah menerima kebenaran perintah tahanan reman oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Seksyen Kangar, Monica Joseph Gaisah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan mereka akan disiasat mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 5:02 AM