Kota Kinabalu: Lima kru bot termasuk seorang wanita diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu selepas bot katamaran mereka hanyut akibat enjin rosak di perairan Pulau Sulug, dekat sini, kelmarin.

Mereka diselamatkan di 11 batu nautika barat daya pulau berkenaan jam 7.10 malam.

Mangsa berusia antara 24 hingga 58 tahun diselamatkan Kapal Maritim (KM) Memmon dan dibawa ke jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, di sini, jam 10 malam.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, sebelum kejadian, bot katamaran itu dilaporkan turut membawa sembilan pemancing tempatan dalam perjalanan pulang ke jeti Sutera Harbour dari perairan Pulau Sulug.

Beliau berkata, ketika di tengah perjalanan, bot dengan nombor pendaftaran SJN01309X itu rosak pada kedua-dua enjin, pada jam 11 pagi.

“Semua kaki pancing itu diselamatkan dua bot milik Sutera Harbour jam 3 petang.

“Bagaimanapun lima kru termasuk seorang wanita tidak ikut kerana mahu membaiki kerosakan di bot namun usaha berkenaan gagal.

“Kami dimaklumkan mengenai perkara itu jam 4 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membawa kelima-lima mangsa di perairan Pulau Sulug, ” katanya, di sini, semalam.

Adam berkata, ketika operasi SAR, pihaknya mengalami sedikit kesukaran berikutan keadaan ombak setinggi 2.5 meter selain laut bergelora.

“Bot katamaran yang dinaiki mangsa dilaporkan separuh tenggelam di perairan itu dan usaha menundanya giat dijalankan.

“APMM dalam pada itu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pemilik bot dan Sutera Harbour yang terbabit dalam operasi SAR ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:08 AM
KRU bot yang diselamatkan APMM.