KELUARGA Mohd Kamil di rumah usang tempat mereka berteduh.
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


Rantau Panjang: Keinginan dua beradik ke sekolah seperti rakan seusia tertangguh berikutan kesempitan hidup keluarga mereka.

Dua beradik berkenaan, Fatihah Mohd Abu Kamil, 11, dan Mohd Azizi, 8, hanya berada di rumah di Kampung Bechah Kaki, Lubok Stol, di sini, menjaga tiga lagi adik yang masih kecil ketika ibu bapa mereka keluar menoreh getah di kebun milik penduduk kampung.

Fatihah berkata, dia perlu menguruskan adik setiap hari ketika ibu bapanya bekerja dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, sebelum ini dia bersekolah sehingga darjah empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Stol namun berhenti akibat kesusahan hidup dan tiada surat beranak.

“Saya rindu ke sekolah dan belajar bersama rakan. Sekarang saya hanya tinggal di rumah kerana menjaga empat adik.

“Saya sedih setiap kali lihat baju sekolah tergantung di sudut rumah kerana saya tidak lagi dapat memakainya.

“Setiap hari, jika ada masa terluang, saya baca buku supaya saya tidak lupa apa yang cikgu ajar,” katanya di rumahnya, semalam.

Menurutnya, kini hanya abang sulung, Mohd Bohari, 13, yang bersekolah dan dia mengambil peluang belajar ketika abangnya menyiapkan kerja rumah.

“Saya tak salahkan ibu dan ayah kerana tahu keluarga kami susah, tetapi saya sangat berharap kembali ke sekolah.

“Jika diberi peluang, saya mahu belajar bersungguh-sungguh bagi membantu keluarga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kesempitan hidup membuatkan lapan beranak pasrah berteduh di pondok berdinding buluh dan beratap zink bocor.

Mohd Abu Kamil Che Ghani, 38, dan isteri, Fatimah Salah, 35, menetap di Kampung Bechah Kaki, Lubok Stol di sini, bersama enam anak berusia antara lima bulan hingga 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:37 AM