ADNAN (kanan) bertemu Amiruddin yang menghuni rumah di kawasan tanah perkuburan Cina di Kampung Ladang Sahat.

Kuala Terengganu: “Kami tidak diganggu lagi, mungkin kerana ‘dia’ sudah kenal kami yang sudah lama menghuni rumah di atas tanah perkuburan ini,” kata Mohd Khairul Zamri Mohd Azam, 32, yang tinggal di kawasan tanah perkuburan Cina di Kampung Ladang Sahat, di sini.

Dia mengakui pernah mengalami gangguan makhluk halus sebelum ini tetapi kini tiada lagi.

“Ketika remaja, saya pernah mengalami kejadian mistik berikutan tapak rumah di atas tanah perkuburan, namun kini semua itu tiada lagi.

“Saya dilahirkan di sini, justeru perasaan takut itu tidak begitu kuat malah perbuatan diganggu makhluk halus menjadi perkara biasa walaupun ada satu ketika rumah seperti bergegar apabila diganggu makhluk halus.

“Mungkin kanak-kanak lain takut untuk bermain di halaman rumah yang ada kubur tetapi anak-anak saya sudah biasa.

“Cuma, yang menjadi kebimbangan bukan makhluk halus tapi binatang berbisa atau mungkin anak-anak jatuh di atas binaan kubur daripada batu,” katanya.

Penghuni lain, Amiruddin Ramlan, 20, berkata, perasaan takut kerana menghuni rumah di atas tanah perkuburan tidak wujud di fikirannya kerana dia dilahir dan dibesarkan di situ.

“Mungkin faktor dibesarkan di kawasan ini menyebabkan saya sudah lali dengan persekitarannya yang mungkin menakutkan bagi orang luar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Kampung Ladang Sahat, Adnan Salleh berkata, pihaknya kini dalam proses melakukan baik pulih rumah di kawasan terbabit bagi menjamin keselesaan penghuninya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 11:11 AM