LOKASI mayat remaja ditemui dalam keadaan reput dan berulat di Kilometer 24, Jalan Gerik-Kupang, dekat R&R Bintang Hijau, Gerik.

Ipoh: Cap jari mayat remaja perempuan berusia belasan tahun dipercayai dibunuh dan ditemui dalam keadaan reput serta berulat di Kilometer 24, Jalan Gerik-Kupang, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Gerik, Isnin lalu, sudah diambil untuk mengenal pasti identitinya.

Difahamkan, walaupun bedah siasat dijalankan kelmarin di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, namun identitinya belum dikenal pasti disebabkan keadaannya reput teruk serta berulat.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mayat remaja perempuan dianggarkan berusia 10 hingga 13 tahun itu ditemui pemotong rumput warga Bangladesh dalam keadaan lengkap berpakaian.

Sumber berkata, cap jari mayat berkenaan dihantar ke Bukit Aman untuk proses mengenal pasti identiti dan proses dijangka mengambil masa lama.

Katanya, hasil bedah siasat kelmarin mendapati mayat remaja perempuan berkenaan tiada parut suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin).

“Sukar untuk membuktikan identitinya kerana keadaan mayatnya reput dan berulat, namun cap jarinya diambil serta dihantar ke Bukit Aman untuk proses seterusnya,” katanya.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Datuk Gan Tian Kee dalam kenyataannya memberitahu punca kematian remaja perempuan itu dipercayai akibat pukulan objek tumpul.

Gan berkata, polis kini menjalankan siasatan dengan mengumpulkan maklumat bagi mengesahkan identiti mangsa dan berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin..

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Azman Yazid atau Pegawai Penyiasat Jenayah Daerah, Inspektor Mashezreen Jamsari di talian 05-7912221.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 8:51 AM