Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Usaha sindiket penyeludupan membawa masuk 320 liter arak putih dengan menggunakan botol air mineral tidak berhasil apabila taktik mereka dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Akibatnya, mereka diserbu di kawasan semak dekat Kampung Jubakar Darat, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Selain arak putih, sejumlah 912 tin dan 168 botol bir pelbagai jenama turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM9,180.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, penyeludup menggunakan botol air mineral untuk mengisi arak putih dan diletak dalam guni itu adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Namun, taktik mereka akhirnya dibanteras selepas beberapa hari melakukan intipan di kawasan terbabit.

“Serbuan dilakukan jam 9 malam selepas anggota kami mengesan kelibat beberapa orang lelaki memunggah guni terbabit dan diletakkan di tepi semak di kawasan itu.

“Bagaimanapun, mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa dan tiada tangkapan dibuat,” katanya ketika ditemui di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Beliau berkata, rampasan arak adalah kes pertama PPM tahun ini dan rampasan dibawa ke markas operasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 12:13 PM
Ahmad Amri (tengah) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian longgokan minuman keras yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand dalam serbuan di Kampung Jubakar Darat.