MADIUS (tengah) dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tiga dari kanan) bersama peserta, semalam.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kes penipuan dalam talian adalah jenayah siber tertinggi dilaporkan dalam tempoh lima tahun dengan 3,921 kes diterima tahun lalu berbanding 3,257 kes pada 2015.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata, penipuan dalam talian jenayah siber paling banyak dilaporkan pengguna Internet dan dalam tempoh Januari lalu saja, 296 kes diterima CyberSecurity Malaysia.

Menurutnya, pada 2012 4,001 kes penipuan dalam dilaporkan meningkat kepada 4,485 (2013), kemudian menurun kepada 4,477 pada 2014 dan jumlahnya terus menurun pada 2015.

“Bagaimanapun, ia kembali meningkat pada tahun lalu dan nampaknya dalam tempoh Januari lalu ratusan laporan berkaitan penipuan dalam talian diterima.

“Penipuan dalam talian ini membabitkan kes phising, scam, pembelian barangan dalam talian dan perbankan Internet,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Internet Selamat 2017, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab.

Madius berkata, selain itu, kes pencerobohan, buli siber dan kod jahat adalah antara jenayah siber yang turut banyak dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia pada tahun lalu.

Katanya, bagi kes pencerobohan 2,476 kes dilaporkan, 529 kes bagi siber buli dan 435 untuk kod jahat.

“Apabila menerima laporan, CyberSecurity akan membuat analisis teknikal dan sekiranya didapati melanggar undang-undang, ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa sebagai bahan bukti untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu, bagi mengatasi jenayah siber, kempen CyberSAFE dilancarkan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet serta komputer secara berhemah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, sempena sambutan Hari Internet Selamat 2017, CyberSecurity Malaysia memperkenalkan kempen ‘Callout Message- MyViralVow’.

Kempen itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada pengguna Internet mengenai tanggungjawab dan etika ketika berkongsi sesuatu maklumat, visual dan berita yang dilakukan secara dalam talian melalui aktiviti tular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:28 AM