LOKASI mayat remaja perempuan ditemui di Kilometer 24, Jalan Gerik-Kupang dekat Hentian Rehat Bintang Hijau, Sungai Rui.

Gerik: Mayat dipercayai remaja perempuan ditemui dalam keadaan reput dan berulat di Kilometer 24, Jalan Gerik-Kupang dekat Hentian Rehat Bintang Hijau, Sungai Rui, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mayat remaja dipercayai berusia 10 hingga 13 tahun itu ditemui pemotong rumput warga Bangladesh lengkap berpakaian.

Difahamkan, mangsa dipercayai mati antara empat hingga lima hari ditemui lima meter dari jalan raya.

Sumber berkata, keadaan mayat lengkap berbaju kemeja petak berwarna biru putih berlengan panjang dan berseluar jean warna biru gelap.

Katanya, tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa namun terdapat kesan luka di pinggang yang belum dikenal pasti punca.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dijalankan selepas menerima laporan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Jamalani Mohd Isa ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 5:39 AM