Hamidah berniaga seperti biasa walaupun harga barang naik.
Faliq Lajim dan Nur Izzati Izzah Nadzi
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Harga barangan basah terutama ayam dan sayuran seperti sawi, kacang panjang, bendi serta buncis didapati masih tidak stabil selepas Tahun Baru Cina lalu.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa pasar sekitar bandar raya ini dan Klang mendapati rata-rata pembeli tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barangan makanan itu.

Harga sekilogram (kg) ayam bersih dijual pada harga RM8.50 diikuti sawi (RM6 hingga RM7), kacang panjang (RM7 hingga RM8), bendi (RM10 hingga RM12) dan buncis (RM12 hingga RM13).

Peniaga ayam di Pasar Seksyen 16, Azmi Sahamin, 48, berkata, pembekal sememangnya sudah menaikkan harga sejak dua minggu lalu.

“Selepas tamat Skim Kawalan Harga bagi Tahun Baru Cina, kami terpaksa menaikkan harga mengikut harga yang dijual pembekal.

“Kami bukan sengaja menaikkan harga dan sudah dua minggu tiada untung berikutan terpaksa mengikut harga yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di pasar itu, semalam.

Menurutnya, dia turut dimaklumkan bahawa kemungkinan harga ayam akan turut meningkat pada minggu depan.

Bagi peniaga sayur, Hamidah Latip, 62, kenaikan tidak boleh dijangka kerana semua harga ditentukan pembekal.

“Jika pembekal menaikkan harga, kami terpaksa turut mengikutnya walaupun masih tidak memperoleh keuntungan yang banyak.

“Kami terpaksa menerima rungutan pembeli yang menyalahkan peniaga kerana menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, pengguna, Amalinah Suboh, 56, berkata dia terpaksa membeli barang basah seperti ayam, ikan dan sayuran walaupun harga semakin mahal.

“Kini, beli tiga barang sudah mencecah RM70 dan belum termasuk barangan lain. Saya tidak boleh berbuat apa-apa dan terpaksa membeli walaupun mahal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:55 AM