PELBAGAI pilihan sajian di Medan Selera Presint 9, Putrajaya.
KANAK-kanak tidak melepaskan peluang untuk mandi-manda di Kolam Renang Presint 9 selepas setahun ditutup.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Putrajaya: Bersantai sambil menjamu selera berhampiran kediaman antara pakej yang terdapat di Medan Selera Presint 9, Putrajaya, sekali gus menjadi antara lokasi ideal untuk menghabiskan cuti pada hujung minggu.

Terletak bersebelahan Klinik Putrajaya Presint 9 kawasan berkenaan juga mempunyai kolam mandi kanak-kanak sesuai untuk keluarga bersantai.

Medan selera berkenaan mempunyai deretan gerai dengan pelbagai juadah turut disediakan kepada pengunjung yang mahu merasai keenakan makanan tradisi, malah harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Orang ramai yang mahu bersantai pada hujung minggu tidak perlu serabut memikirkan lokasi bersesuaian kerana kawasan berkenaan lengkap kemudahan seperti tandas dan surau.

Selain itu, medan selera terbabit juga tidaklah terlalu jauh dari pusat pentadbiran kerajaan yang menjadi lokasi tarikan kepada orang ramai untuk bergambar dan melawat bangunan ikonik.

Kawasan terbabit sebenarnya tidaklah popular seperti lokasi tumpuan di ibu kota, namun jika mahu luangkan masa bersama keluarga sambil membawa anak mandi, medan selera berkenaan adalah lokasi bersesuaian.

Pada cuti hujung minggu pasti dipenuhi orang ramai yang membawa anak masing-masing beriadah sambil menjamu selera di gerai yang disediakan.

Seorang kakitangan awam Khairul Amar Abdullah, 35, berkata, lokasi berkenaan menjadi pilihannya untuk menghabiskan cuti hujung minggu kerana terletak berhampiran dengan kediaman.

“Saya tidak perlu menempuh kesibukan kota jika mahu membawa anak ke tempat menarik kerana di medan selera ini segalanya sudah ada dan paling penting terletak berhampiran dengan kediaman.

“Walaupun tempat ini hanya medan selera, ia ada pelbagai kemudahan dan sesuai membawa anak masing-masing untuk bersantai,” katanya.

Sementara itu, Siti Aishah Md Hanif, 31, berkata, jika ada kelapangan dia bersama rakan akan duduk melepak di medan selera berkenaan untuk menjamu selera.

“Medan selera ini menyediakan pelbagai juadah dengan harga berpatutan dan ia juga lokasi bersesuaian bersantai bersama rakan selepas penat bekerja.

“Tempat ini tidaklah serabut seperti lokasi lain dan ia juga bersih serta diselenggara dengan baik sekali gus memberikan keselesaan kepada pengunjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 6:21 AM