ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa.
Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my


Butterworth: Seorang wanita tidak dapat mengawal emosi dengan menangis teresak-esak sejurus adik lelakinya ditahan polis kerana positif dadah.

Sebelum kejadian, wanita berusia 30-an bersama adiknya 20-an dalam perjalanan dari Kepala Batas ke Seberang Jaya, namun diperiksa polis dalam sekatan jalan raya di lorong motosikal Plaza Tol Sungai Dua, malam kelmarin.

Bagaimanapun, selepas ujian saringan air kencing dilakukan ke atas adik lelakinya mendapati dia positif dadah.

Lelaki berkenaan ditahan bersama empat lelaki lain dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) untuk tujuan selanjutnya.

Komander Subtek Zon Utara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Superintendan Shahrum Hashim berkata, Ops Selamat itu dibuat sempena cuti Tahun Baru Cina.

Menurutnya, 60 penunggang motosikal termasuk 15 pemandu kereta dan van diarah menjalani saringan air kencing.

Katanya, hasilnya lima lelaki berusia 20 hingga 35 tahun ditahan selepas positif dadah.

Jelasnya, operasi bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) malam kelmarin memberi fokus kepada penunggang motosikal.

“Sebanyak 80 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak menggunakan lorong motosikal, tidak mempamer cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Operasi bermula jam 9 hingga 12 tengah malam dengan kekuatan 21 pegawai dan anggota serta dibantu AADK, PLUS, Propel dan Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya.

Katanya, operasi yang bermula sejak 21 Januari lalu dan dijangkan tamat pada 5 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 10:30 AM