AHMAD Zaharin memeriksa bahagian dapur sebuah restoran.
Siti Nor Amirah Abu Bakar
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Lapan premis makanan di sekitar Pusat Komersial Seksyen 7 di sini, diarah tutup sementara atas pelbagai kesalahan termasuk pekerja tiada suntikan antitifoid dan membuang sisa makanan ke dalam longkang.

Kesalahan itu dikesan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan yang dijalankan secara menyeluruh pada Jumaat lalu.

Operasi disertai Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Perlesenan, Jabatan Bangunan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, operasi itu bertujuan memastikan premis makanan menepati aspek kebersihan dan pengendalian makanan yang ditetapkan MBSA.

Katanya, tujuh notis dan 11 kompaun dikeluarkan kepada premis yang gagal mematuhi syarat dan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Semua tindakan yang diambil termaktub mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Establisyemen Makanan MBSA 2007,” katanya.

Menurut Ahmad Zaharin, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan isu kebersihan dan akan menutup premis makanan yang didapati terdapat lipas dan tikus atau mempunyai ‘rating’ 50 peratus ke bawah.

“Operasi ini akan dilakukan secara berkala bagi memastikan kebersihan semua premis berada pada tahap tertinggi.

“Ini kerana, penyediaan makanan yang tidak bersih boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:27 AM