ENAM sekawan meredah air menyelamatkan kucing terperangkap dalam banjir.
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


Segamat: Menyedari ramai mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan kucing peliharaan masing-masing kerana bergegas meninggalkan kediaman selepas air naik mendadak, enam sekawan mengambil inisiatif melancarkan gerakan mencari dan menyelamat haiwan itu di sekitar Kampung Pogoh, di sini.

Mohd Nor Bari, 30, berkata, idea itu tercetus kerana keluarganya turut membela kucing dan ada antaranya terperangkap dalam kediamannya yang dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

“Apabila menyedari tempat tinggal mereka mula dinaiki air dengan mendadak, ada penduduk yang panik dan bergegas menyelamatkan diri serta barangan berharga untuk ke pusat pemindahan sementara.

“Mungkin dalam kelam-kabut itu, ramai yang terlupa untuk membawa bersama kucing peliharaan mereka menyebabkan haiwan berkenaan terperangkap sama ada di atas pokok dan bumbung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mohd Nor, lima rakannya, Faiz Abdullah, 27, Mohd Nor Syazwan Abd Razak, 20, Mohd Nor Lamat, 22, Syarin Roslan, 27, dan Mohd Najib Hassan, 26, turut terbabit mengesan kucing yang ditinggalkan mangsa banjir.

“Selain menyelamatkan kucing terbabit ke tempat yang selamat, kami juga memberi makan kepada kucing yang ditinggalkan itu sementara menunggu air surut dan tuannya pulang semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:35 AM