POLITEKNIK Kota Bharu membawa pulang trofi, plak sijil dan geran pembangunan keusahawanan bernilai RM100,000.
MSU rangkul anugerah bagi kategori swasta.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


Pelaksanaan dasar dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2016-2020 yang dilancarkan April tahun lalu adalah satu usaha menganjakkan minda siswa daripada pencari pekerjaan kepada penjana pekerjaan dalam kalangan lepasan graduan IPT.

Atas sebab itu, kerajaan berhasrat melahirkan graduan yang holistik dengan mengutamakan keseimbangan antara akademik dan keusahawanan.

Dan antara usaha berterusan dilakukan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan pengajian serta menambah baik eksosistem yang menyokong pembangunan keusahawanan penuntut.

Tidak terhenti di situ, KPT sekali lagi menganjurkan Anugerah Keusahawanan KPT (MEA) 2016 yang menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengungguli Anugerah Universiti Awam Paling Berkeusahawanan bagi kategori institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), Khamis lalu.

MEA yang berlangsung meriah dan penuh gilang-gemilang di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur itu turut menyaksikan Management & Science University (MSU) merangkul gelaran Universiti Swasta Paling Berkeusahawanan untuk kategori institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

UPM dan MSU masing-masing membawa pulang trofi, plak sijil dan geran pembangunan keusahawanan bernilai RM200,000.

Selain itu, Politeknik Kota Bharu, Kelantan dan Kolej Komuniti Kuala Langat, Selangor diangkat sebagai pemenang kategori politeknik serta kolej komuniti di mana menyaksikan mereka membawa pulang trofi, plak sijil dan geran pembangunan keusahawanan bernilai RM100,000 setiap satu.

Pemenang Penuntut Terbaik Enterprise pula dimenangi Noorain Mohd Said (Norah Beautyline Sdn Bhd) dari Universiti Malaya manakala Projek Sosial Keusahawanan Terbaik menjadi milik Projek Sosial Keusahawanan Pitas dari Kolej Kota Marudu, Sabah.

Mentor Keusahawanan Terbaik diberikan kepada Nik Nurfarah Fareena Auddin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Hadih disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ain Mohd Nur.

Menurut Idris, perancangan tersusun dan pelaksanaan padu pelbagai pihak terhadap pelan itu berupaya mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif serta lestari.

“Kami mahu memperkasa ekosistem keusahawanan IPT dengan lebih mendalam dan pembabitan menyeluruh dalam kalangan penuntut menerusi program ini kerana ia terbukti menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Ketua Unit Keusahawanan dan Rangkaian Penyelidikan Awam Swasta (PPRN) KPT, Datin Dr Syahira Hamidon berkata, MEA adalah satu platform KPT untuk memberi pengiktirafan kepada penuntut, pensyarah dan juga institusi yang menunjukkan kecemerlangan dari segi agenda serta keusahawanan mereka.

“Tahun ini, kami berikan pengiktirafan kepada Universiti Awam dan Swasta Paling Berkeusahawanan, Politeknik dan Kolej Komuniti Paling Berkeusahawanan, Penuntut Terbaik Enterprise, Projek Sosial Keusahawanan Terbaik serta Mentor Keusahawanan Terbaik.

“Untuk empat institusi itu, anugerah diberikan kepada institusi yang mempunyai semua ekosistem keusahawanan merangkumi jalinan hubungan dengan penuntut dan masyarakat setempat, bagaimana mereka jalankan pengajaran dan pembelajaran, macam mana mereka lakukan kajian dan mengolahnya kepada impak serta banyak lagi aspek,” katanya.

Tambahnya, Penuntut Terbaik Enterprise diberikan kepada penuntut yang sudah mendaftarkan perniagaan mereka dan ia menunjukkan kemajuan di tahap amat memberangsangkan.

Projek Sosial Keusahawanan Terbaik pula diberi kepada penuntut yang menjalankan projek berkumpulan untuk membantu masyarakat yang terpinggir dengan menggunakan modul berasaskan perniagaan.

Pengiktirafan Mentor Keusahawanan Terbaik diberikan kepada mereka yang menjadi pembimbing pada penuntut atau perniagaan penuntut di universiti masing-masing.

“Mengenai perancangan pada masa hadapan, seperti yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keusahawanan KPT, mungkin kita ingin menjemput pihak kapten industri untuk menaja anugerah tertentu contohnya, anugerah francais terbaik, supaya kita boleh lihat adanya hubungan dan pembabitan daripada pihak industri.

“Semua peserta dinilai secara berperingkat oleh barisan panel juri yang terdiri daripada pakar industri, usahawan berjaya dan ketua agensi yang berkaitan dengan keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, Nik Nurfarah Fareena berkata, dirinya berasa gembira dan teruja kerana usahanya dalam membantu penuntut dan memberi balik kepada pihak universiti menampakkan hasil.

Gadis berusia 28 tahun itu juga mahu menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan belia terutama dalam kalangan mahasiswa agar menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Berkongsi pendapat yang sama adalah Noorain, Pengasas Norah Beautyline Sdn Bhd yang bercita-cita mahu membantu melahirkan lebih ramai usahawan muda pada masa hadapan.

“Saya mahu berkongsi kisah kehidupan dengan mereka. Perniagaan bukan sesuatu yang menakutkan jika ia didorong dengan minat, semangat mahu mencuba dan demi pelaburan waktu tua.

“Sehingga kini, saya mempunyai kira-kira 800 agen berdaftar dan ramai di antara mereka terdiri daripada mahasiswa yang pendapatan bulanannnya boleh mencecah sehingga RM8,000,” kata anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang, itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:18 AM