ZAMBRY menyerahkan sumbangan kepada Siew (dua dari kanan) dan Ng sempena Tahun Baru Cina.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Sitiawan: Perbezaan agama, bangsa dan bahasa, tidak menjadi penghalang kepada dua beranak kaum Cina hidup dalam suasana harmoni di sebuah perkampungan India di Kampung Spyanie, Kayan, di sini.

Dua beranak yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, Siew Eng, 81, dan anak lelakinya, Ng Kim Leng, 55, yang buta, menumpang ihsan dengan sebuah keluarga India yang membina rumah baru selepas rumah mereka terbakar dua tahun lalu.

Siew Eng berkata, dia yang kematian suami sejak lebih 10 tahun lalu, tinggal di rumah yang dibina keluarga R Saravanan, 39, di atas tanah milik keluarga itu.

“Kami hilang tempat berteduh selepas rumah musnah dalam kebakaran dan atas dasar prihatin, Saravanan membawa kami tinggal bersama keluarganya sebelum rumah yang diduduki sekarang siap dibina.

“Saya terharu walaupun berbeza bangsa, mereka menganggap kami seperti keluarga sendiri dan memberikan rumah kepada kami dua beranak serta keperluan kami diuruskan baik oleh mereka,” katanya yang ditemui ketika menerima lawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke rumah mereka sempena Tahun Baharu Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:30 AM