MANGSA dera diiringi kakitangan JKM (tengah) dan neneknya di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Sungai Petani: “Saya akur dengan keputusan mahkamah demi kebaikan cucu saya. Cukuplah, saya kehilangan cucu lelaki dan tidak mahu satu-satunya cucu perempuan pula terabai.”

Itu kata-kata nenek kanak-kanak perempuan mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, Sungai Petani pada November lalu terhadap keputusan Mahkamah Majistret Sungai Petani menetapkan hak jagaan mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selama tiga tahun.

Wanita berusia 48 tahun dari Sungai Layar di Sungai Petani itu berkata, lebih baik cucunya ditempatkan di JKM.

“Saya hanya mahukan yang terbaik bagi cucu. Dalam tempoh jagaan sementara JKM di rumah kebajikan di Jitra bulan lalu, saya lihat keadaannya terjamin dan selamat.

“Pendek kata, jika dulu saya menangis melihat tubuhnya dipenuhi lebam dan bengkak, kini saya bersyukur dengan perubahan dirinya yang semakin sihat dan riang.

“Bagaimanapun, saya tetap melawat cucu sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk melihat perkembangannya,” katanya di Kompleks Mahkamah Sungai Petani semalam.

Pada prosiding semalam, Majistret Adibah Husna Zainal Abidin memerintahkan kanak-kanak perempuan itu diletak di bawah jagaan sementara JKM mengikut Peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001 selepas tempoh jagaan sementara tamat semalam dengan meneliti laporan berkaitan daripada JKM.

Kanak-kanak itu sebelum ini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Ridzuan Puzi, Jitra dan dipindahkan ke Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti di Kepala Batas, Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Kanak-kanak yang berpakaian merah jambu itu tiba di kompleks mahkamah dengan menaiki van JKM, jam 10 pagi sambil diiringi seorang Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak JKM Kedah.

Sejurus tiba, kanak-kanak itu memeluk nenek dan bapa saudara yang menunggunya.

Sementara itu, Pengarah JKM Kedah Md Noor Chik berkata, keputusan berkenaan dibuat mengambil kira kepentingan dan kebajikan kanak-kanak terbabit.

“Nenek kandung kanak-kanak itu diperintahkan melawat cucunya sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Kanak-kanak itu pula dibenarkan pulang bercuti sekiranya penjaga dapat menjamin keselesaan dan keselamatannya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia manakala kakaknya yang berusia empat tahun parah akibat dipukul teman lelaki ibu mereka, 24 November tahun lalu.

Kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sejak 9 November dengan mayatnya yang sudah reput disembunyikan suspek dalam tong ikan dalam bilik di Flat Paya Nahu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 6:17 AM