Parit di hadapan rumah penduduk dipenuhi air banjir di Parit Baru.
Keadaan longkang di Taman Seri Dua yang melimpah ketika hujan lebat menyebabkan banjir kilat.
Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my


Sabak Bernam: Penduduk Taman Seri Dua Sungai Besar di sini, terus dihantui kebimbangan banjir terus berulang setiap kali hujan lebat sejak empat tahun lalu.

Penduduk, Ahmad Shamsi Seri, 62, berkata, masalah banjir kilat di taman perumahan itu berpunca longkang yang tersumbat sehingga air tidak dapat mengalir sempurna dan melimpah.

“Apabila hujan lebat, longkang di kawasan perumahan ini dipenuhi air yang akhirnya melimpah memasuki rumah penduduk,” katanya.

Menurutnya, saiz longkang yang kecil serta cetek juga penyumbang utama kejadian banjir kilat itu selain tersumbat dan dipenuhi sampah kerana tidak diselenggara dengan sempurna.

Menurutnya, laporan sudah dibuatnya kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani masalah itu namun sehingga hari ini belum ada tindakan diambil.

“Saya akui pemantauan daripada MDSB serta JPS sudah dibuat, namun ia cuma pemantauan selepas banjir kilat menyebabkan keadaan sebenar tidak diketahui.

“Saya mohon pihak berkuasa menggantikan longkang di kawasan kritikal berhampiran rumah saya supaya kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Ahmad Samsi berkata, perabot serta barangan elektrik di rumahnya dan penduduk lain rosak apabila banjir melanda.

“Saya bukan minta bantuan kerosakan ataupun ganti rugi cuma minta longkang diselenggara dengan baik supaya kejadian sama tidak berulang, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 6:06 AM