AZIH pada sidang media di pejabat CUEPACS, semalam.

Kuala Lumpur: “Mana-mana pegawai yang menjadikan rasuah sebagai punca pendapatan, hentikanlah. Jangan ambil hak rakyat, nanti mereka marah kerajaan,” kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda mengulas mengenai gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata, rakyat akan marah jika hak mereka diambil orang lain terutama pihak diamanahkan memberi perkhidmatan kepada mereka.

Katanya, penjawat awam harus menjadikan integriti sebagai perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam setiap pekerjaan dilakukan mereka.

“CUEPACS mengucapkan tahniah dan menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berusaha keras membanteras rasuah serta tidak berkompromi dalam soal integriti.

“Apa yang penting kita perlu ada kesedaran dan penghayatan di peringkat sekolah lagi mengenai bahaya rasuah dan kepentingan integriti ini,” katanya dalam sidang media di pejabat CUEPACS di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 5:48 AM