Zailani (kiri) dan Azwan (kanan) membersihkan bot sambil dibantu Leftenan Muda (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat di Pejabat APM Pasir Puteh, Kelantan.
Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my


Pasir Puteh: Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di sini, sanggup melupakan seketika masalah kediaman mereka yang terkepung akibat banjir demi tugas dan khidmat bakti sebagai anggota penyelamat.

Tenaga mereka sangat diperlukan ketika musim tengkujuh untuk menyelamatkan penduduk daerah ini yang terkandas dan perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Zailani Che Mat, 52, menetap di Kampung Permatang Rambai, Bukit Abal, Selising, di sini manakala Azwan Dunia, 21, pula di Gong Manok, Gaal meredah banjir sedalam semeter untuk keluar dari rumah dan ke pejabat bagi memulakan tugas.

Zailani berkata, berat hatinya meninggalkan isteri, Faridah Noor, 48, dan enam anak berusia 12 hingga 25 tahun di rumah selepas melihat keadaan semakin teruk ketika hari pertama banjir, Jumaat lalu.

“Dengan halaman rumah penuh air dan laluan tenggelam, saya memang tidak sedap hati meninggalkan keluarga kerana bimbang banjir lebih teruk.

“Tapi, saya ada tanggungjawab lebih besar iaitu menyelamatkan mangsa banjir yang kediaman mereka tenggelam.

“Sebab itulah saya nekad meredah banjir dan bergegas ke pejabat menyertai rakan pasukan lain memulakan operasi. Sehingga semalam (kelmarin) saya belum sempat pulang ke rumah. Hanya menjenguk keluarga seketika saja,” katanya.

Sementara itu, Azwan berkata, dia sendiri menumpang perahu seorang penduduk untuk ke pejabat selepas kampungnya ditenggelami air.

Katanya, ketika mahu menyeberangi anak sungai, sampan dinaiki mereka nyaris terbalik dirempuh batang buluh yang hanyut.

“Syukur pemilik mahir kendalikan sampan. Semua ini saya anggap pengalaman berharga sepanjang bertugas.

“Menyarung seragam ini bermakna saya berjanji pada diri untuk berbakti kepada masyarakat dan negara dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya.

APM Pasir Puteh mempunyai 40 anggota termasuk dua anggota tetap yang majoritinya berusia 19 hingga 45 tahun bagi urusan menyelamat sepanjang musim tengkujuh dan perkhidmatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 6:47 AM