Gambar Muhammad Ramadhan yang mencoretkan luahan hatinya di Facebook.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: “Jiha, setibanya aku di Tanah Suci ini, tolong jaga ibu ku dengan baik-baik,” begitulah pesanan terakhir Allahyarham Muhammad Ramadhan Alias, 20, yang diterima rakan baiknya, Nurul Natasha Najiha Che Musa, 19, menerusi WhatsApp pada Rabu lalu.

Pesanan rakannya itu amat mengejutkan sebelum memintanya supaya dia tidak mengulangi perkataan yang sama.

“Saya beritahu Adam (Ramadhan) tidak baik cakap seperti itu dan minta dia ingat tujuannya ke Makkah semata-mata ingin mengerjakan umrah dan berdoa agar penyakitnya cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Murni Perdana, Paka, semalam.

Menurutnya, pesanan Adam kepadanya itu membuatkan dia menangis dan dapat merasakan rakannya itu akan meninggal dunia di sana.

“Saya berkawan baik dengan Adam sejak lima tahun lalu ketika kami belajar bersama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Paka.

“Arwah banyak berkongsi cerita suka duka bersama saya terutamanya selepas dia disahkan menghidap leukemia Jun tahun lalu,” katanya.

Dia juga dua kali melawat rakannya yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Malah, dia sering memberi semangat kepada rakannya itu sentiasa kuat melawan penyakitnya serta memintanya usah berputus asa berdoa kepada Allah.

“Kali terakhir saya bertemunya ketika menghantar Adam dan ibunya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) untuk ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebelum berlepas, arwah berpesan meminta saya dapat menjaga diri dan tidak menangis sekiranya dia sudah tiada lagi,” katanya.

Nurul Natasha berkata, dia menerima berita sedih ketiadaan Muhammad Ramadhan itu jam 12.30 tengah hari kelmarin melalui kakak arwah yang menghubunginya.

Dia bersyukur Allah menunaikan segala permintaan rakannya itu dan mendoakan agar roh arwah ditempatkan di sisi mereka yang soleh.

“Kini, saya menyimpan hasrat ke Madinah pada suatu hari nanti untuk menziarahi kuburnya,” katanya.

Muhammad Ramadhan dari Kampung Beril, Paka itu menghidap leukemia tahap empat, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Al-Ansar, Madinah jam 11.20 pagi kelmarin waktu Malaysia.

Dia bersama ibunya dalam perjalanan mengerjakan umrah selepas menerima pembiayaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) dan juga kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 6:01 AM