KEADAAN motosikal mangsa terbabit kemalangan.

Kuantan: Seorang ahli perniagaan terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli TNT600 ditunggangnya melanggar pacuan empat roda di Kilometer 49 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Chendor, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.15 petang, Muhammad Adam Kong, 40, dari Jalan Jabor Kubur, Taman Seri Kemaman, Kemaman, Terengganu, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, sebelum kejadian pacuan empat roda dipandu Nazlina Jusoh, 40, menghala ke Dungun dari Kuantan dipercayai menukar laluan secara mengejut menyebabkan kenderaan itu bergesel dengan kereta Honda CR-V dipandu Hashim Sman, 57, dari Dungun, Terengganu.

“Pada masa sama, motosikal berkenaan yang datang dari Kemaman melanggar bahagian kiri pacuan empat roda itu lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh pokok,” katanya.

Beliau berkata, Nazlina yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi 2, Kemaman bersama penumpangnya, Mohd Rozi Draman, 40, cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:27 AM