Alexander (dua kanan) dan Annuar (dua kiri) mendengar penerangan Pengarah Urusan Ezy Cakes, Daud Abu Bakar ketika melawat kilang pemprosesan makanan.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pembukaan Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi pemangkin kepada usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran halal global yang kini dianggarkan bernilai RM7.9 trilion setahun.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, bagi tujuan itu, MARA bercadang menubuhkan KIMAR di setiap negeri, sekali gus meningkatkan nilai eksport produk halal negara yang kini mencecah RM37.7 bilion.

Katanya, bagi memastikan usahawan terus bersaing di pasaran global, MARA mengambil inisiatif terbabit dalam program Pembangunan Industri Halal melalui kompleks industri MARA yang dikategorikan sebagai Taman Halal.

“Kita membuka KIMAR di seluruh negara bagi mencapai sasaran pasaran halal global.

“Buat masa ini, kompleks yang terbabit program Pembangunan Industri Halal ialah Kompleks MARA di Tambun, Perak; Pengkalan Chepa, Kelantan; Kuala Perlis, Perlis; Demak Laut, Sarawak; Taman Pengeluar Produk Usahawan (TPPU) Pedas, Negeri Sembilan dan KIMAR,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan KIMAR di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.

KIMAR menyediakan 19 lot kilang mengikut jenis produk dikeluarkan usahawan dengan fasiliti disediakan memenuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Menurut Alexander, MARA turut menyediakan kemudahan pembiayaan mesin dan peralatan bagi membolehkan usahawan mengeluarkan produk bermutu tinggi yang mencapai piawaian antarabangsa.

“Kerjasama strategik turut dijalin dengan Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengawal dan memastikan kualiti dan kebersihan makanan serta kilang supaya produk menepati standard piawaian kualiti dan kebersihan.

“Produk usahawan KIMAR turut jadi pilihan hypermarket tempatan seperti Mydin, KLIA1, KLIA2, Giant, Tesco, malah ada yang dieksport ke luar negara seperti Singapura, China, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:12 AM