PENGUAT kuasa KPDNKK memeriksa premis perniagaan di Pasar Borong Selangor, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Seri Kembangan: Melampau dan ingkar beramai-ramai. Perkara itu disimpulkan susulan tindakan diambil terhadap seramai 188 peniaga yang melakukan kesalahan sama iaitu tidak meletakkan tanda harga barang seperti diwajibkan.

Semua peniaga di Pasar Borong Selangor di sini, didapati berdegil hasil pemeriksaan mengejut dilakukan 40 pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di pasar itu jam 9 pagi semalam.

Dalam serbuan Operasi Harga (Op Harga) itu, 188 notis amaran dikeluarkan terhadap peniaga yang diperiksa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, serbuan bermula jam 9 pagi membabitkan 188 premis perniagaan di kawasan terbabit.

“Masih ramai peniaga yang berdegil dalam mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa apabila dikesan melakukan pelbagai kesalahan berulang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kebanyakan mereka tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa termasuk tidak mempamerkan tanda harga dan alat timbang digunakan untuk tujuan perdagangan tamat tempoh,” katanya.

Abdul Rosik berkata, pasar borong itu antara lokasi ‘panas’ yang sering menjadi tumpuan pihaknya dengan pemantauan dijalankan secara berkala bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

“Peniaga yang mendapat notis amaran boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan kompaun hingga RM2,000.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 10:40 AM