Seorang penduduk, Nazrul Rosnan menunjukkan saluran utama bekalan air yang sudah dipasang semula oleh SYABAS.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sudah menyambung semula bekalan air yang dipotong di pangsapuri Bandar Tasik Selatan 1 (BTS1).

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah berkata, pihak pangsapuri sudah membayar RM60,106 kepada SYABAS dan bekalan air sudah disambung semula dalam tempoh 24 jam.

“Difahamkan sebelum ini terdapat tunggakan bil air sebanyak RM184,870.59 di pangsapuri itu menyebabkan kami terpaksa memotong bekalan malam semalam (Isnin lalu).

“Pihak pengurusan pangsapuri sudah menjelaskan satu pertiga daripada tunggakan itu dan baki jumlah tunggakan bil air yang masih belum dijelaskan akan dibuat sebelum 27 Januari ini,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, SYABAS memotong bekalan air di pangsapuri itu susulan tunggakan bayaran bil air mencecah lebih RM180,000.

Tinjauan mendapati penduduk di lima blok bangunan pangsapuri itu sudah boleh kembali menjalankan rutin harian seperti biasa.

Pemilik kedai dobi di pangsapurti itu, Suhaida Mat Sahad, 40, berkata dia terpaksa menutup kedainya kelmarin selepas mengalami masalah air seharian akibat pemotongan bekalan oleh SYABAS.

Katanya, ramai penduduk yang datang ke kedainya bertanyakan air simpanan kerana sebelum masalah berlaku mereka tidak diberi sebarang notis menyebabkan penghuni 1,440 rumah di situ mengalami masalah.

“Semalam (kelmarin), kebanyakan penduduk ingat saya ada menyimpan air sedangkan saya sendiri pun terpaksa menggunakan air mineral untuk keperluan sendiri.

“Bermula jam 8 pagi tadi (semalam) air sudah keluar dengan laju dari paip dan saya boleh membuka semula kedai dobi saya,” katanya ketika ditemui di pangsapuri BTS 1, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri BTS 1, Hashim Saad berkata, sebanyak 32 unit rumah dikenal pasti masih tidak menjelaskan tunggakan mereka yang melebihi RM2,000.

“Berkuatkuasa pada hari ini (semalam), pihak kami bertindak membuat operasi pemotongan bekalan air kepada unit yang tidak menjelaskan tunggakan melebihi RM500.

“Kami berterima kasih kepada Pengerusi Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen yang banyak membantu menyelesaikan isu terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 10:29 AM