ANGGOTA forensik bomba melakukan siasatan di tempat kejadian.
PELAJAR melihat bangunan asrama yang musnah dalam kebakaran.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


Kuantan: “Saya hanya mampu menangis apabila semua pakaian, wang tunai RM70 dan empat kitab hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran malam tadi (kelmarin), asrama menjadi tempat kami berteduh musnah sekelip mata.

“Rakan lain mengalami nasib sama, kami kini semua tinggal sehelai sepinggang,” kata Muhammad Rafik Irfan Mohd Roza, 14, pelajar tingkatan dua Pusat Pendidikan Islam an Nuur, Pantai Sepat, di sini, yang terbakar malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, bahagian atas bangunan asrama menempatkan 113 pelajar lelaki itu hangus dan memusnahkan katil, perabot serta kelengkapan pelajar.

Muhammad Rafik berkata, ketika kejadian dia dan pelajar lain tiada di asrama kerana mengikuti kuliah agama sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah di surau.

Kebakaran itu hanya disedari selepas melihat asap berkepul dan api menjilat tingkat atas asrama mereka.

“Saya dan pelajar lain hanya mampu melihat api yang marak dan melaungkan azan beberapa kali, kami tidak berani menghampiri bangunan itu kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Walaupun sedih, namun saya reda kehilangan semua pakaian, wang tunai serta kitab, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini dan mungkin Allah mahu menguji kesabaran kami,” katanya yang berasal dari Pekan.

Rakannya, Mohammad Noor Iman Ibrahim, 15, berkata, kejadian berlaku dalam tempoh satu jam selepas dia meninggalkan bilik asrama itu untuk mengikuti kuliah.

“Dalam suasana ceria mengikuti kuliah, kami dikejutkan jeritan mengatakan asrama terbakar. Semua berlaku dengan pantas dan kini kami menumpang di dewan dan surau.

“Semua pakaian termasuk MyKad saya musnah namun reda dengan kejadian ini, ujian diberikan Allah mungkin mahu menilai tahap keimanan kami,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu yang berasal dari Kampung Seberang, Temerloh.

Sementara itu, pengasas pusat pendidikan berkenaan Mokhtar Senik berkata, bangunan asrama dua tingkat itu mula diduduki pelajar tiga hari lalu, seramai 60 pelajar baru ditempatkan di tingkat atas asrama itu.

Katanya, kebakaran menyebabkan kerugian lebih RM400,000 apabila perabot, tilam, katil, selimut dan bantal pelajar musnah.

Beliau juga bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semua pelajar tiada di asrama ketika kejadian itu berlaku.

“Bagaimanapun kami memerlukan sumbangan daripada masyarakat yang prihatin dengan nasib yang menimpa pelajar, antara kelengkapan diperlukan 50 katil bertingkat, masing-masing 100 unit tilam, bantal, almari dan selimut.

“Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi pengurusan pondok di talian 013-2743889 (Mohd Zaki) atau menerusi akaun Maybank (556011018085) dan juga Bank Islam (06019010021868),” katanya yang berharap sumbangan dapat diterima dengan segera.

Tinjauan Harian Metro di tempat kejadian mendapati Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang masih melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 11:04 AM