Ahmad Zahid tiba untuk mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing dan PATI kali ke-16.
myMetro

Putrajaya: Kerajaan bersetuju memberi kebenaran dan kelonggaran pengambilan pekerja asing dalam satu sektor dan beberapa sub sektor lain bagi mengatasi kekurangan pekerja terutama dalam pekerjaan dianggap sukar, kotor dan berbahaya (3D).

Ia membabitkan sektor perlombongan dan pengkuarian; sub sektor pertanian penternakan unggas (ayam daging/telur), pengendalian kargo di pelabuhan dan pelancongan merangkumi spa dan urut kaki, sub sektor hotel/hospitaliti serta pulau peranginan dan kedi golf (lelaki saja).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebenaran dan kelonggaran itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, kelulusan bagi sektor perlombongan dan pengkuarian hanya diberi secara sementara (interim) bagi tempoh sehingga 2020 dan hanya diberikan kepada pengusaha yang diluluskan untuk mengusahakan lombong atau kuari.

“Kebenaran ini diberikan bagi memenuhi keperluan mendesak buat masa kini kerana sub-sektor ini tidak dapat menarik minat warga tempatan kerana aktiviti perlombongan dan pengkuarian dijalankan di luar bandar selain pekerjaan yang dianggap 3D.

“Bagi pengendalian kargo pula terhad kepada yang beroperasi di pelabuhan kerana kekurangan tenaga kerja kritikal memandangkan pekerjaan ini turut dianggap sebagai 3D dan gagal menarik pekerja tempatan.

“Jika ada pun mereka hanya sanggup bekerja antara tiga hingga enam bulan saja. Kebenaran ini bagi memastikan pelabuhan negara terus kekal kompetitif dan bersaing dengan pelabuhan serantau,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKPPA-PATI) di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 10:26 AM