Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rajin membaca dan merujuk kamus menjadi rahsia kejayaan pemenang Peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 3, Mohamad Nadzri Mahmud, 46, bagi menghasilkan slogan menarik untuk peraduan yang disertainya.

Pembantu Tadbir Kanan di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis ini berkata, dia banyak membaca untuk menambah pengetahuan dan mempelajari perkataan baru yang menarik serta rajin merujuk kamus.

Menurutnya, apabila ada saja perkataan baru dan menarik, dia akan segera merujuk kamus bagi mencari maksudnya serta penggunaan yang sesuai dalam ayat.

“Perkataan baru yang dipelajari akan disesuaikan dengan kehendak slogan dalam setiap pertandingan yang disertai,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 3 di Balai Berita Bangsar, di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Ketua Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Mohd Irhash Zamani. Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Nadzri yang membawa pulang kereta Naza Kia Sportage berkata, dia datang ke Kuala Lumpur, Sabtu lalu bersama isteri serta dua anaknya menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan akan memandu pulang kereta baru itu.

Dia yang teruja dengan kemenangan itu, berkata tidak akan menjual kereta dimenanginya kerana ia hasil kejayaannya selepas beberapa kali mencuba menyertai pertandingan anjuran Harian Metro.

“Saya banyak kali menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan Harian Metro. Walaupun sebelum ini tidak pernah menang, saya terus mencuba dan soal kemenangan bergantung kepada rezeki,” katanya.

Peraduan Mudah Menang bermula April tahun lalu yang diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-25 Harian Metro mendapat sambutan hebat daripada pembaca. Tiga hadiah utama bagi tiga siri peraduan sepanjang tahun lalu menjadi rebutan pembaca bertuah membabitkan Peugeot 5008, Naza Kia Optima dan Naza Kia Sportage.

Peraduan dibahagikan kepada tiga siri yang diadakan setiap enam minggu dan pemilihan pemenang hadiah utama diadakan pada minggu terakhir siri berkenaan.

Bagi pemenang hadiah mingguan, seorang pemenang dipilih bagi merangkul hadiah paling kreatif yang membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala peserta yang menjawab soalan tepat berserta slogan menarik, dua pemenang dipilih untuk menerima tiket percuma ke taman tema Legoland dan enam peserta dipilih memenangi hadiah wang tunai RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 11:24 AM
MOHD Irhash (tengah) menyampaikan hadiah utama Peraduan Mudah Menang Harian Metro iaitu kereta Kia Sportage kepada Mohamad Nadzri (kiri) sambil disaksikan Mustapa di Balai Berita, Bangsar.