MAHDZIR berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2017 Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 di PICC, Putrajaya.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited meneruskan kesinambungan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang dikemas kini selaras dengan pencapaian tahun sebelumnya bagi memastikan Gelombang 2 (2016-2020) pelan itu terus memacu peningkatan transformasi sistem pendidikan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ke arah proses pengantarabangsaan pendidikan Malaysia setanding negara lain seperti mana yang dihasratkan dalam Anjakan 1 PPPM 2013-2025, kementerian menjalankan usaha penambahbaikan secara menyeluruh membabitkan semua peringkat warga pendidikan.

Menurut beliau, berdasarkan senarai inisiatif utama dan inisiatif sokongan yang akan dilaksanakan oleh bahagian berkaitan dan dipantau Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), beliau menaruh keyakinan transformasi pendidikan negara akan terus berada di landasan betul.

“Bagi meningkatkan kecekapan kementerian dalam mendepani cabaran pendidikan global inisiatif Penstrukturan Kementerian dibangunkan dengan tujuan untuk memperkemas struktur peranan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan memberi lebih pengupayaan, kekuasaan dan kebertanggungjawaban dalam membuat sebarang keputusan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk pengagihan perjawatan daripada KPM kepada JPN dan PPD serta membangun dan memperkasa daya kepemimpinan (leadership capabilities) bagi 150-200 jawatan kepemimpinan utama di KPM.

“Suka saya mengumumkan bahawa Jawatankuasa Tingkatan Tertinggi (JKTT), Jabatan Perkhidmatan Awam sudah menimbang dan meluluskan cadangan Penstrukturan Semula KPM pada 14 Disember lalu dan akan memuktamadkan struktur pada peringkat bahagian, JPN dan PPD dalam masa terdekat selepas urusan waran perjawatan diselesaikan,” katanya sempena Perutusan Tahun Baharu 2017 Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurutnya, kementerian juga berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menangani kerencaman tugas guru yang semakin mencabar termasuk mengurangkan masalah pengisian data secara dalam talian.

“KPM amat prihatin dengan tanggungjawab guru dalam pengurusan data pendidikan yang membabitkan pelbagai aplikasi.

Justeru, mulai tahun ini, KPM membuat ketetapan bahawa aplikasi yang wajib diuruskan oleh guru kelas dan guru akademik biasa hanyalah Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS-Offline).

“Aplikasi lain yang melibatkan operasi sekolah seperti Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS) dan Sistem Pendaftaran Atas Talian (SPAT) akan dilaksanakan oleh guru yang dilantik sahaja seperti Guru Data dan Setiausaha Peperiksaan,” katanya.

Katanya, kementerian sentiasa komited untuk memastikan guru berkualiti sentiasa berada di dalam perkhidmatan pendidikan dengan membangunkan Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan.

“Pelan ini memberi panduan dan motivasi kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi merancang untuk membangunkan kompetensi dan potensi diri.

“Pelan yang fleksibel ini memenuhi keperluan kompetensi individu, keperluan organisasi dan standard semasa secara sistematik dan bersepadu. Besarlah harapan kementerian supaya guru dapat memanfaatkan kewujudan pelan ini bagi meningkatkan kompetensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan kesinambungan usaha tahun sebelumnya termasuk memperluaskan Program Sekolah Transformasi (PST) 2016 dan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

“PST dilaksanakan bagi membangunkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan dengan menyediakan suasana bilik darjah kondusif dan fleksibel, teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkesan, pengurusan sekolah cekap dengan mengutamakan kemenjadian murid.

“Sebanyak 100 sekolah melaksanakan PST pada 2016 dan tahun ini 100 lagi terpilih untuk melaksanakan program ini.

“Selain itu, sebanyak 64 sekolah dipilih sebagai sekolah contoh membudayakan kolaboratif dan perkongsian sesama guru dengan sekolah berdekatan menerusi PLC dan pada tahun ini jumlah itu akan diperluaskan kepada 256 sekolah lain,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) 2017 dilaksanakan bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kritis, kreatif dan inovatif, penyelesaian masalah dan kepimpinan untuk membolehkan murid bersaing pada peringkat global.

“Pendekatan kurikulum standard baharu ini berubah ke arah pendidikan yang lebih mudah dan bersifat terbuka selari dengan konsep pembelajaran abad ke-21.

“Kurikulum itu memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran yang dibezakan di samping memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek, memperkemas mata pelajaran atau tema dan melaksanakan pentaksiran formatif.

“Selain itu, semakan ini juga membabitkan pemurnian dokumen Kurikulum Standard Baharu Prasekolah (KSPK) kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang menghasilkan murid lebih kreatif dan inovatif dapat dilihat apabila murid melangkah ke Tahun Satu, mereka mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis,” katanya.

Katanya, usaha berterusan juga dilakukan untuk memperkasakan bidang latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) termasuk menambah baik asas kemahiran dan latihan kemahiran semula.

“Langkah ini bagi membolehkan rakyat negara ini kekal relevan dalam bidang dipilih atau menempa laluan kerjaya baharu sekali gus meningkatkan jumlah tenaga mahir warga tempatan selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Mulai tahun ini, KPM akan melaksanakan program rintis Pendidikan Asas Vokasional (PAV) Lanjutan bagi mencapai sasaran memenuhi tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran kerja di negara kita.

“Kepentingan TVET terserlah apabila kerajaan mengambil langkah mengubah suai sembilan Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada empat Kolej Vokasional, Politeknik (empat) manakala sebuah IPG akan dijadikan pusat latihan jurulatih TVET,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:47 AM