KERETA Honda Odyssey klon yang dirampas AKSEM Perlis.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang lelaki penjawat awam ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kangar, Perlis, kelmarin kerana memiliki kereta mewah klon.

Difahamkan lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di kawasan stesen bas ekspres Kangar hasil serbuan pegawai dan anggota AKSEM jam 1.15 tengah hari.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan itu hasil maklumat dan intipan dilakukan pihaknya.

“Lelaki terbabit seorang penjawat awam dan pernah ditahan sebelum ini berkaitan kes klon kenderaan. Hasil maklumat yang kita terima, anggota AKSEM membuat intipan dan mengekori sebelum menahannya.

“Pemeriksaan mendapati dia memiliki kenderaan klon Honda Odyssey dipercayai diseludup dari Singapura. Kes ini diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Syed Basri berkata, rampasan kereta bernilai RM30,000 itu adalah kejayaan ketiga pihaknya awal tahun ini dan operasi berterusan akan dilakukan bagi menangani kes klon kenderaan dan penyeludupan.

Menurutnya, pada 3 Januari lalu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dari Lubuk Merbau, Pendang, jam 2.30 petang dan merampas kereta klon Toyota Wish bernilai RM60,000.

“Seterusnya, pada 4 Januari, jam 9 pagi pula kami merampas sebuah kereta Suzuki Swift berwarna biru di Kampung Bemban, Kubang Tiga, Perlis bernilai RM30,000 dan kedua-dua kes diserah kepada JKDM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus kastam.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda amaun duti kastam dan maksimum 20 kali ganda amaun duti kastam atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:23 AM