KEADAAN kereta yang remuk teruk akibat nahas di Jalan Salor-Pasir mas.
myMetro

Kota Bharu: “Tiba-tiba sahaja kereta Proton Waja itu terbabas ke laluan saya. Dalam keadaan kalut itu, saya tidak sempat mengelak dan turut terlanggar kereta Perodua Kancil,” kata pemandu lori Abd Mukit Ahmad Zaki, 27.

Dia terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Salor-Pasir Mas sebelum stesen minyak Caltex, di sini, pada jam 6.15 petang, kelmarin.

Dalam kejadian itu, seorang maut manakala dua parah dan seorang cedera ringan. Mereka yang parah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, untuk dirawat.

Abd Mukit berkata, ketika kejadian itu, dia dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Machang bersama rakan berusia 23 tahun.

“Saya terkejut Proton Waja itu masuk ke laluan saya. Jarak dekat menyebabkan saya sukar mengelak dan bertembung dengannya dan Perodua Kancil (yang berada di belakang Proton Waja),” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, mangsa yang maut, Rozman Yusof, 41, memandu Proton Waja manakala dua parah penumpang lelaki kereta berkenaan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja dinaiki tiga lelaki terbabit cuba memotong kenderaan di hadapan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung lori dipandu Abd Mukit.

“Pada masa sama, Perodua Kancil dinaiki dua lelaki di belakang Proton Waja turut dirempuh lori ketika cuba mengelak kereta mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 10:50 AM