FAZILAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencabul seorang remaja berusia 14 tahun.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Seorang peniaga perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, semalam, atas tuduhan mencabul seorang remaja perempuan yang juga pekerjanya.

Tertuduh, Fazilan Abu Kasim, 49, membuat pengakuan itu di depan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun satu bulan dengan mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan peniaga perabot itu di Taman Bachang Baru pada jam 4.30 petang, 10 November tahun lalu.

Fazilan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM4,000 kepada tertuduh.

Namun, tertuduh diwakili peguam Sulaiman Harmain Shah merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan peniaga perabot itu mempunyai lima anak masih bersekolah selain pendapatan bulanannya sekitar RM3,000 sahaja.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Norina kemudian mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,800 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:41 AM