Muhamed Zainudin keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
myMetro

Melaka: Seorang penganggur diperintah membayar denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana menyebabkan kerugian dan kerosakan pada kereta milik bapanya.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Norina Maludin selepas tertuduh, Muhamed Zainudin Mohamed Hussein, 28, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, Muhamed Zainudin didakwa melakukan khianat terhadap harta dan menyebabkan kerugian serta kerosakan kereta Proton Saga milik Mohamed Hussein Abdul Muthalif, 60, dianggarkan berjumlah RM5,000 di depan rumah di Bukit Katil pada jam 8 malam, 18 November 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Norina memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,800 dan jika gagal, dia boleh dipenjara selama dua bulan.

Terdahulu, di mahkamah berasingan, Muhamed Zainudin mengaku tidak bersalah di depan Majistret Mohd Firdaus Saleh atas pertuduhan mencederakan Mohamed Hussein.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di lokasi sama pada jam 6.30 petang, 30 Disember tahun lalu, dengan membaling topi keledar menyebabkan bapanya cedera.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh.

Namun, ketika membuat rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia mempunyai masalah mental.

Mohd Firdaus memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Tampoi, Johor mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan menetapkan 7 Februari depan untuk serahan laporan mental.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:27 AM