BILL dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Miri.
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my

Miri: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, akan mendapatkan persetujuan Hakim Besar Sabah dan Sarawak untuk membenarkan pertukaran hakim bagi perbicaraan kes pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Bill Kayong.

Ketetapan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Miri Dr Alwi Abdul Wahab yang menghakimi kes itu membenarkan permohonan peguam tertuduh, Ranbhir Singh Sangha pada 3 Januari lalu.

Melalui permohonan itu, Ranbhir meminta Dr Alwi menarik diri bagi mendengar kes itu kerana beliau pernah mendengar pertuduhan kes salah seorang tertuduh berkaitan pertuduhan lain sekali gus mengelakkan konflik kepentingan.

Keputusan pertukaran hakim itu akan diputuskan selepas mendapat persetujuan Hakim Besar Sabah dan Sarawak selain penentuan semula tarikh sebutan semula kes.

Dalam kes terbabit, Mohamad Fitri Pauzi, 29, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill pada jam 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart, Jalan Miri-Kuala Baram, 21 Jun lalu.

Tiga lagi tertuduh, Datuk Lee Chee Kiang, 45, Lie Chang Loon, 37, dan Chin Wui Chung, 50, dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama kerana bersubahat bersama Mohamad Fitri ketika kejadian.

Bill atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah mati ditembak menggunakan senapang patah ketika berada dalam Toyota Hilux miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:57 AM